Kehidupan awal Hatta_Azad_Khan

Rencana ini tidak memetik apa-apa sumber atau rujukan. Sila bantu dalam memperbaiki rencana ini dengan menambahkan rujukan ke sumber-sumber yang boleh dipercayai. Bahan yang tidak disahkan mungkin akan dipertikai dan dipadam. (Ketahui bagaimana dan bila untuk membuang pesanan templat ini)

Beliau bersekolah di Sekolah Pusat Jerteh dan kemudian memasuki sekolah berasrama penuh Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh, Perak sehingga Tingkatan Lima dan lulus MCE. Hatta pernah bekerja di RTM Kawasan Timur, Kuala Terengganu sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dalam jurusan teater, komunikasi dan seni halus. Beliau diterima menjadi tutor di Universiti Kebangsaan Malaysia dan melanjutkan pengajian ke peringkat M.A. dalam bidang "sinografi dan pengarahan teater" di Universiti Purdue, A.S. pada tahun 1979-80. Mula bertugas sebagai pensyarah mengajar drama di Jabatan Persuratan Melayu UKM. Mulai 1986 melanjutkan pengajian ke peringkat PhD dalam pengajian filem di Universiti New South Wales, Australia. Tahun 1990 mengarahkan filem pertama "Mat Som" yang diadaptasi daripada buku komik dengan judul yang sama karya Lat. Filem tersebut memenangi Anugerah Lakonlayar Terbaik Festival Filem Malaysia dan terpilih menyertai Festival Filem Antarabangsa Tokyo, Hawaii, Bangalore, Fukuoka, Taipei dan Jakarta.Setelah menamatkan pengajian di peringkat Phd, Hatta kembali bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia. Pada tahun 1993 Hatta terpilih dalam kumpulan pensyarah UKM yang memulakan Universiti Malaysia Sarawak dengan lantik sebagai Profesor Madya dan dipertanggung-jawabkan sebagai Dekan Pengasas Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK). Hatta kekal di Sarawak selama lima tahun dan pada 1997 kembali ke Kuala Lumpur dan selama setahun meneruskan kerjaya menulis dan mengarahkan sitcom Pi Mai Pi Mai Tang Tu terbitan Othman Hafsham (Cinematic Sdn Bhd). Mulai 1998 - 2000 Hatta menerima lantikan sebagai Pengarah, Akademi Seni Kebangsaaan dan kemudian dilantik sebagai Ketua Pengarah, Istana Budaya (2000 -2005). Hatta kembali ke dunia akademik apabila dilantik sebagai profesor dan Dekan, Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, Universiti Teknologi Mara (2005 - 2011) Mulai Januari 2012 hingga kini Hatta menerajui Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan sebagai Rektor.